Setiap makhluk yang hidup, mempunyai peranannya masing masing sebagaimana yang telah dimaktubkan didalam kitab. Dalam dunia binatang, telah ditentukan siapa yang akan melahirkan, dan siapa yang akan menjaga kedamaian. Kerjasama ini menjadikan kehidupan itu harmonis, andainya semua itu faham akan tanggungjawab masing masing. Hidup bekerjasama, saling membantu diantara satu dan lain, akan selalu menghasilkan produk yang baik, samada produk zahir atau batin.
Kehidupan saling melengkapi sudah diatur berzaman zaman lamanya. Tapi hari ini, kepandaian fikiran sudah banyak mengatasi kebijaksanaan aqal. Norma manusia sudah berubah, dan kehidupan aku, aku, dan engkau, engkau lebih banyak mendorongi kehidupan manusia. Maka itu sedikit demi sedikit asas tanggungjawab sudah gugur dan tidak bermakna lagi bagi sebahagian manusia.
Dalam kehidupan mau pun organisasi, andainya ada pemimpin atau pekerja yang mementingkan diri sendiri, lambat laun organisasi berkembang dengan tidak teratur, kalau tidak berakhir dengan kemusnahan.
Barangkali ramai yang bekerja kerana mengejar pangkat, dan imbuhan wang yang lebih. Mereka lupa bahawa rezeki itu letaknya ditangan tuhan, dan kerja yang baik, adalah satu doa yang sempurna menanti dimakbulkan oleh Allah swt.
Barangkali ada juga yang berpandangan, orang yang malas dan banyak membuat onar, berjaya naik pangkat berbanding dengan yang setia bekerja bagaikan keldai membawa bebanan. Itu namanya rezeki. Allah telah berfirman yang membawa maksud, 'Ia berkuasa memberi rezeki dan apa jua kepada sesiapa yang dikehendakiNya,'
Itu bukan soalnya, soal pokok apakah ia kelak akan bertanggungjawab. Dan itu adalah peranan pemimpin untuk membimbing dan memberi petunjuk dengan aqalnya yang tidak mendabik dada dan tidak berkepentingan.
NUKILAN MUSTAFA OSMAN
No comments:
Post a Comment